PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan desakan supaya beliau meletakkan jawatan susulan penggantungan perkhidmatan pembayaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh MYEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd sebagai tidak berasas.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata tindakan itu dikenakan terhadap syarikat yang mempunyai tunggakan hasil kerajaan, bukannya terhadap kerajaan atau mana-mana pihak lain.
“Yang tidak membayar ialah syarikat, tetapi saya pula yang diminta meletakkan jawatan. Apa logiknya?” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Anthony menegaskan keputusan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ dibuat berdasarkan fakta serta pematuhan terhadap tanggungjawab kewangan yang ditetapkan, tanpa mengambil kira sebarang kaitan politik syarikat terbabit.
Katanya, kerajaan tidak berminat untuk mengaitkan pengurusan atau pemilikan syarikat berkenaan dengan mana-mana parti politik kerana perkara itu bukan asas kepada tindakan yang diambil.
“Yang penting ialah faktanya. Ada tunggakan hasil kerajaan yang sepatutnya diserahkan tetapi belum dipenuhi. Jadi, tindakan perlu diambil,” katanya.
Sebelum ini, JPJ memaklumkan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI digantung mulai 5 Oktober selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma perjanjian serta obligasi yang masih belum diselesaikan.
Kerajaan sebelum ini turut memaklumkan jumlah tuntutan terhadap kedua-dua syarikat berkenaan mencecah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026.
Anthony berkata kerajaan telah memberi ruang kepada syarikat terbabit untuk menyelesaikan tunggakan, termasuk menerusi 35 notis peringatan serta empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan.


Leave a Reply