BANGKOK – Cubaan membawa masuk seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga China ke Malaysia melalui Thailand berjaya digagalkan pihak berkuasa selepas polis mengejar dua kenderaan sejauh kira-kira 40 kilometer di Songkhla, selatan Thailand.
Operasi itu membawa kepada penahanan tiga warga Thailand yang dipercayai berperanan membantu membawa lelaki berkenaan dari sempadan Kemboja sebelum meneruskan perjalanan menuju Malaysia.
Jurucakap Bahagian 6 Polis Imigresen Thailand, Kolonel Polis Charoenpong Khantilo berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat risikan mengenai kegiatan penyeludupan manusia di kawasan sempadan.
Menurutnya, pasukan polis kemudian mengesan dua kenderaan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan dipandu laju sebelum mengejar kedua-duanya sejauh 40 kilometer.
Salah sebuah kenderaan terbabit akhirnya berjaya dipintas di Jalan Lop Buri Ramet, Hat Yai, lewat malam kelmarin.
Pemeriksaan mendapati kenderaan itu dinaiki dua wanita tempatan berusia 35 tahun, masing-masing dikenali sebagai Aiyatiya dan Lalita.
Seorang lelaki warga China berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Yang turut ditemukan berada di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.
Siasatan awal mendapati kedua-dua wanita itu menerima bayaran 10,000 baht (RM1,200) bagi membawa Yang ke sebuah hotel peranginan di Hat Yai selepas lelaki berkenaan memasuki Thailand secara haram dari Kemboja.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 29 tahun dikenali sebagai Songkran yang memandu kenderaan kedua di hadapan kereta dinaiki Yang.
Suspek berkenaan dikesan menghubungi Aiyatiya untuk mendapatkan maklumat mengenai kedudukannya sebelum polis menyusun strategi dengan memancingnya berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran.
Ketiga-tiga warga Thailand itu kini berdepan pertuduhan membantu pendatang tanpa izin, manakala Yang menghadapi pertuduhan berkaitan kesalahan imigresen termasuk gagal mengemukakan pasport.
– Agensi


Leave a Reply