KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan penstrukturan semula tarif elektrik dengan mengambil kira jumlah penggunaan bagi memastikan kos bekalan tenaga diagihkan secara lebih seimbang antara isi rumah dan sektor industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara cadangan yang sedang dikaji ialah pelaksanaan konsep user pay basis, iaitu pengguna yang menggunakan lebih banyak tenaga perlu membayar kadar yang bersesuaian dengan penggunaan mereka.
Menurut beliau, pendekatan itu turut memberi perhatian kepada pengguna berskala besar seperti pengendali pusat data dan industri yang memerlukan bekalan elektrik dalam jumlah tinggi.
Beliau berkata, pengasingan kadar tarif antara pengguna domestik dengan sektor industri juga boleh membantu mewujudkan sistem pembayaran yang lebih adil, selain memastikan kepentingan pengguna isi rumah terus dilindungi.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengambil kira kemampuan kewangan isi rumah berikutan kenaikan kos penjanaan elektrik yang dipengaruhi peningkatan harga bahan api di pasaran global.
Bagi mengurangkan tekanan terhadap pengguna, langkah perlindungan bil elektrik disediakan untuk isi rumah yang menggunakan elektrik tidak melebihi 800 kilowatt-jam sebulan.
Langkah tersebut berkuat kuasa mulai 1 September hingga 31 Disember 2026.


Leave a Reply