BERLIN – Harga rokok keluaran kilang di Jerman akan meningkat dengan ketara menjelang pergantian tahun selepas Parlimen Jerman memberikan kelulusan akhir pada Jumaat terhadap reformasi cukai tembakau yang dicadangkan kerajaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Selepas Dewan Rendah Parlimen (Bundestag) meluluskan pindaan kepada undang-undang sedia ada pada Khamis, Dewan Atas Parlimen (Bundesrat) pada Jumaat membuka laluan kepada kenaikan cukai yang besar terhadap rokok dan produk tembakau lain bagi tempoh 2027 hingga 2030.
Kenaikan cukai itu akan dipindahkan kepada pengguna akhir, sekali gus menyebabkan harga meningkat kira-kira 50 peratus atau lebih dalam tempoh berkenaan.
Ketika ini, sekotak rokok yang mengandungi 20 batang di Jerman berharga secara purata lebih €8 (US$9), namun harganya dijangka meningkat kepada hampir €12 menjelang 2030, menurut unjuran Kementerian Kewangan. Rokok jenama terkenal pula boleh mencecah harga sehingga €14 sekotak.
Kerajaan memberikan alasan bahawa pindaan undang-undang itu diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara serta melindungi kesihatan awam.
Setiap tahun, kira-kira 130,000 orang di Jerman meninggal dunia akibat penyakit berkaitan tembakau. Golongan profesional perubatan dan beberapa ahli politik berharap kos merokok yang tinggi dapat memberikan kesan pencegahan.
Menurut bancian 2025, hampir satu daripada lima penduduk Jerman, atau 19 peratus, merokok. Daripada jumlah itu, 14 peratus penduduk berusia 15 tahun ke atas mengatakan mereka merokok secara tetap manakala lima peratus lagi merokok sekali-sekala.
— BERNAMA-dpa


Leave a Reply