LONDON – Pengunjung kembali mengunjungi sebuah taman hidupan liar di United Kingdom (UK) hampir seminggu selepas seorang lelaki muda maut dibaham seekor harimau di taman berkenaan, lapor PA Media/dpa.

William Chapman, 24, meninggal dunia di Yorkshire Wildlife Park (YWP) di Doncaster pada Sabtu selepas memanjat dua pagar di kawasan kurungan harimau yang dikenali sebagai Land of the Tigers, menurut prosiding inkues.

Koroner dimaklumkan bahawa Chapman pernah didiagnosis menghidap skizofrenia dan mengalami beberapa episod psikosis sebelum ini, manakala keluarganya turut menyuarakan beberapa kebimbangan berhubung urusannya dengan perkhidmatan kesihatan mental.

Pada Jumaat, taman itu dibuka semula kepada pengunjung buat kali pertama sejak tragedi berkenaan, termasuk kawasan Land of the Tigers.

Pengunjung yang tiba lebih awal melaporkan bahawa harimau Siberia jantan berusia lima tahun yang terbabit dalam kejadian itu, dikenali sebagai Altai, kelihatan berada di salah satu kawasan kurungan sambil menikmati makanan di atas pelantar kayu.

Beberapa pengunjung memerhatikan harimau itu dari laluan pejalan kaki kayu yang ditinggikan sambil menunggu haiwan berkenaan menghadap mereka untuk mengambil gambar.

Bagaimanapun, jumlah pengunjung di taman itu agak kecil meskipun cuaca musim luruh cerah.

Beberapa petugas taman dan anggota keselamatan ditempatkan di laluan pejalan kaki sekitar kawasan kurungan harimau, dengan jumlah mereka pada ketika tertentu melebihi bilangan pengunjung.

Laluan pejalan kaki itu berada separas dengan bahagian atas pagar setinggi 15 kaki yang mengelilingi kawasan kurungan harimau, selain dilengkapi struktur tambahan yang menganjur keluar kira-kira satu meter bagi menjauhkannya daripada pengunjung.

Papan tanda pada pagar berkenaan memberi amaran bahawa pagar itu mempunyai aliran elektrik.

Dalam prosiding pembukaan inkues pada Khamis, mahkamah dimaklumkan bahawa Chapman merupakan seorang peniaga dalam talian yang bekerja sendiri dan menetap di Doncaster ketika kejadian.

Beliau berada di bawah pemantauan perkhidmatan kesihatan mental dewasa di Doncaster, namun masih mampu menjalani kehidupan secara berdikari dan berfungsi dengan baik tanpa memerlukan penjagaan khusus.

Pemeriksaan bedah siasat awal mendapati Chapman meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan traumatik selepas diserang harimau berkenaan.

Prosiding inkues dimaklumkan bahawa Chapman tiba di taman itu kira-kira 1.30 tengah hari pada Sabtu sebelum memanjat dua pagar dan memasuki kawasan kurungan harimau.

Koroner berkata keluarga Chapman sedang melalui keadaan yang amat sukar dan memutuskan untuk tidak menghadiri prosiding berkenaan, namun akan dimaklumkan mengenai perkembangannya oleh kakitangan beliau selepas itu.

Prosiding turut dimaklumkan bahawa Majlis Bandar Raya Doncaster, yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen operasi taman itu, sedang menjalankan siasatan kesihatan dan keselamatan serta akan menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Siasatan oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) turut dimulakan.

Dalam kenyataan terdahulu menerusi media sosial, pihak taman memaklumkan bahawa “amat ramai” individu menghubungi mereka untuk bertanyakan keadaan Altai, harimau Amur yang terbabit dalam kejadian itu.

Pihak taman mengesahkan bahawa harimau berkenaan berada dalam keadaan selamat dan sihat serta tidak akan dimatikan.

Altai dibawa ke YWP pada 2025 dari sebuah zoo di Norway sebagai sebahagian daripada projek pemuliharaan global.

Harimau itu tinggal bersama seekor harimau betina bernama Tschuna yang dibawa ke Doncaster pada 2013.

Land of the Tigers merupakan kawasan kurungan seluas dua ekar yang dilengkapi kawasan berhutan dan kolam air terjun.

Kedua-dua harimau itu biasanya ditempatkan di kawasan kurungan berasingan.

Pada Jumaat, Tschuna berada di kawasan kurungan tempat Chapman diserang, manakala Altai ditempatkan di kawasan bersebelahan.

Kedua-dua kawasan kurungan itu diapit laluan pejalan kaki sepanjang 300 meter yang membolehkan pengunjung melihat harimau Siberia dari kedudukan lebih tinggi.

Harimau Siberia yang turut dikenali sebagai harimau Amur merupakan spesies kucing terbesar di dunia.

— BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading