KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mempersoalkan kemungkinan wujud layanan berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan melibatkan paparan Jalur Gemilang, khususnya apabila membandingkan tindakan terhadap orang awam dengan beberapa pihak lain.
Beliau membangkitkan perkara itu selepas mendakwa terdapat individu awam yang direman dan menjalani ujian air kencing, sedangkan tiada tangkapan dibuat dalam kes membabitkan pejabat MCA Perak, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor.
“Adakah polis dipengaruhi oleh status individu yang terlibat?” soalnya.
Menjawab pertanyaan itu dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan tindakan yang diambil pihak polis berhubung ketiga-tiga insiden berkenaan.
Bagi kes paparan Jalur Gemilang secara terbalik di pejabat MCA Perak pada 28 Ogos, Saifuddin berkata pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh telah mengambil keterangan, termasuk daripada wakil MCA Perak yang memberikan penjelasan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, kesilapan berkenaan segera diperbetulkan, manakala individu yang bertanggungjawab menyatakan kekesalan dan meletakkan jawatan. Pengerusi MCA Perak turut memohon ampun daripada Sultan Perak serta mengeluarkan permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia.
Dalam kes di Terengganu pula, kehilangan simbol bulan sabit dan bintang pada Jalur Gemilang yang dipaparkan dikatakan berpunca daripada kesilapan teknikal serta faktor cuaca, bukannya perbuatan khianat atau sabotaj.
Saifuddin berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan dalaman, namun tiada laporan polis dibuat berhubung insiden itu.
Situasi sama berlaku dalam kes di Johor apabila grafik Jalur Gemilang yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) memaparkan bintang berbucu 18, berbanding 14 bucu yang sepatutnya. Menteri itu berkata tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan.
Beliau menegaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan terpakai dalam siasatan semua kes, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik individu terbabit.
Katanya, polis komited menangani isu yang boleh mencetuskan kebimbangan awam, menjejaskan keamanan negara serta mengganggu keharmonian masyarakat.
Bagaimanapun, Lim dalam hantaran di Facebook hari ini mengkritik jawapan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu kerana mendakwa ia tidak menjawab persoalan utama yang dibangkitkannya.
Beliau menegaskan Parlimen bukan tempat untuk pihak menggunakan permainan kata bagi mengelak tanggungjawab, sambil menyifatkan jawapan yang diberikan sebagai tidak memadai dan boleh menjejaskan kewibawaan institusi Parlimen.
Lim turut menegaskan rakyat berhak mendapat penjelasan yang jelas dan telus berhubung cara undang-undang dikuatkuasakan dalam kes seumpama itu.
Sumber: Facebook Lim Lip Eng


Leave a Reply