PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan rakaman video Menteri Dalam Negeri mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam yang kembali tular di media sosial merupakan video lama dari 2023.
Menurut JPN, rakaman itu merupakan sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan jabatan berkenaan sempena Hari Pendaftaran Negara 2023 dan perkara tersebut telah dijelaskan secara rasmi pada 25 Oktober tahun sama.
JPN menyifatkan tindakan menyebarkan semula rakaman berkenaan tanpa konteks sebenar sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh mencetuskan persepsi salah dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Jabatan itu menjelaskan bahawa pendaftaran perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam merupakan antara tanggungjawab JPN yang dilaksanakan berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164.
Penglibatan Menteri Dalam Negeri dalam upacara berkenaan, menurut JPN, adalah sebahagian daripada acara rasmi jabatan pada 2023 dan perlu difahami berdasarkan konteks serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam kenyataan sama, JPN turut merujuk pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan aspek hukum syarak bagi membantu masyarakat memahami isu berkenaan berdasarkan penjelasan pihak berautoriti.
JPN mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan andaian atau menyebarkan rakaman lama dengan naratif yang boleh mengelirukan.
Pengguna media sosial turut diseru supaya menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu kandungan sebelum berkongsi bagi mengelakkan salah faham serta polemik tidak berasas. JPN menegaskan jabatan itu akan terus menjalankan tanggungjawabnya secara profesional berpandukan undang-undang yang ditetapkan. – KL Broadcast



Leave a Reply