KUALA LUMPUR – Seorang guru sekolah rendah yang turut mengajar tuisyen mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan berkaitan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii membabitkan tiga murid lelaki.

Tertuduh, M D Sebastian, 46, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Muhammad Ilmami Ahmad.

Daripada enam pertuduhan berkenaan, empat membabitkan dakwaan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Jalan Puchong, antara Julai hingga September lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta dikenakan sebatan.

Sebastian turut berdepan dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang daripada mangsa di lokasi sama, masing-masing pada 18 dan 30 September antara jam 5.30 petang hingga 6 petang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin bagi keseluruhan pertuduhan. Antara syarat yang dikenakan ialah tertuduh tidak boleh menghubungi atau mengganggu mangsa serta saksi, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan diwajibkan melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 November dan 18 Disember ini untuk prosiding sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suloshani Vijendran dan Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, manakala tertuduh diwakili peguam Mansheel Kaur serta Harvind Singh.

Pada 16 Oktober lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan seorang lelaki ditahan pada 10 Oktober bagi membantu siasatan berhubung dakwaan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima murid lelaki. Kes itu dipercayai berlaku di rumah suspek yang turut digunakan sebagai pusat tuisyen.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus, seorang buruh warga Indonesia, Mohammad Habit, 37, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Kesalahan itu didakwa berlaku di surau wanita di kawasan parkir bertingkat di Sentul antara jam 6.30 petang hingga 7 malam pada 4 Oktober lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Mohammad Habit dan menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Suloshani, manakala tertuduh diwakili peguam Tharamjit Singh.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading