KOTA BHARU – Tiga lelaki ditahan ketika memunggah 1,700 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM4,250, dalam operasi bersepadu di Kampung Kubang Chenak, Pasir Mas, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata operasi pada 3 petang itu, turut membawa kepada penyitaan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan Mitsubishi Triton, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM69,250.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, suspek dipercayai mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi daripada pemborong, sebelum mengumpulkannya untuk dibawa ke daerah bersempadan dan dijual kepada pihak tertentu bagi tujuan penyelewengan.

“Biasanya bekalan minyak ini akan dibawa ke daerah bersempadan, sebelum dijual kepada pihak-pihak tertentu untuk tujuan penyelewengan.

“Pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan itu, turut menemukan enam helai invois pembelian minyak masak dan dua unit cop perniagaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi yang dijalankan Unit Risikan dan Tindakan Khas KPDN Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta bantuan pasukan rondaan KPDN Kelantan itu, turut menyaksikan penyitaan minyak masak, kenderaan dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

— BERNAMA

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading