KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan usaha meningkatkan mutu jalan raya di ibu negara menerusi kerja pengisaran dan penurapan semula bagi menjamin perjalanan yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, turun padang meninjau pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan di beberapa laluan utama sekitar ibu negara.
Lokasi yang terlibat ialah Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban arah masuk, Lebuhraya Sultan Iskandar arah masuk dan Jalan Ampang arah masuk.
Kerja penyelenggaraan itu melibatkan proses mengisar permukaan jalan lama sebelum lapisan baharu menggunakan bahan Stone Mastic Asphalt (SMA) diturap bagi memperbaiki keadaan permukaan serta meningkatkan ketahanan jalan.
Bagi meminimumkan kesesakan dan gangguan kepada pengguna, kerja berkenaan dijalankan pada waktu malam, dari jam 10 malam hingga 5 pagi.
DBKL memaklumkan penyelenggaraan jalan raya akan diteruskan secara terancang dan berkala bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna serta memperbaiki kelancaran perjalanan di Kuala Lumpur.
Inisiatif itu selaras dengan komitmen pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan bandar raya yang lebih selamat, selesa dan sejahtera untuk semua warga kota.


Leave a Reply