MEDAN – Pihak berkuasa Indonesia merampas lebih dua tan dadah bernilai kira-kira AS$300 juta (RM1.3 bilion) menerusi dua operasi berasingan di Pulau Sumatera minggu ini, termasuk penahanan sebuah kapal tangki milik syarikat berpangkalan di Johor Bahru.
Menurut laporan Agensi Berita AFP, Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto berkata, rampasan pertama membabitkan 1.16 tan ketamin yang ditemukan dalam kapal tangki MT Global 168 di Selat Melaka pada Selasa lalu.
Kapal berdaftar di Mongolia itu dipercayai belayar dari Thailand melalui Laut Andaman sebelum dipintas ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang, Malaysia.
Suyudi berkata, dadah jenis ketamin hidroklorida itu disimpan dalam 58 guni dengan jumlah berat keseluruhan 1.16 tan.
Pihak berkuasa mula menjejaki pergerakan kapal berkenaan sejak Ogos lalu susulan maklumat risikan mengenai kegiatan mencurigakan.
Operasi bersama polis dan pegawai kastam berjaya memintas kapal itu sebelum membawanya ke Pelabuhan Belawan, Sumatera Utara, untuk pemeriksaan lanjut.
Lapan kru kapal, terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan, ditahan bagi membantu siasatan.
Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah atau kira-kira AS$192 juta.
Dalam operasi berasingan pada Rabu lalu, polis turut menyerbu sebuah makmal dadah haram di Kabupaten Pidie, Aceh, dan merampas 1.2 tan methamphetamine yang dianggarkan bernilai 2.16 trilion rupiah.
Seramai 11 individu, termasuk sembilan warga Indonesia dan dua warga China, ditahan di beberapa lokasi dalam operasi berkenaan.
Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia turut memintas sebuah kapal yang membawa 1.3 tan ketamin dari Thailand yang disembunyikan dalam 65 guni berhampiran Kepulauan Riau.


Leave a Reply