PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan RM30 juta menerusi Dana Inovasi Media 2.0 bagi meneruskan usaha memperkasa industri media tempatan, termasuk dalam aspek pendigitalan, pembangunan bakat dan penerapan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan AI.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu yang diumumkan pada Jun lepas, merupakan kesinambungan Dana Inovasi Media diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Beliau berkata pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan industri media negara kekal berdaya tahan dan relevan dengan keperluan semasa.
“Inisiatif ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan industri media terus diperkasa khususnya dalam aspek inovasi, pendigitalan, pembangunan bakat dan penerapan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Mengulas pencapaian dana terdahulu, Fahmi berkata sebanyak 72 syarikat media menerima pembiayaan daripada peruntukan RM30 juta yang diumumkan tahun lepas.
Beliau berkata pembiayaan itu menyokong pelbagai inisiatif transformasi industri media termasuk latihan, pengukuhan operasi serta penerokaan pendekatan baharu dalam penghasilan dan penyampaian kandungan.
Permohonan bagi dana berkenaan boleh dibuat mulai 1 hingga 14 Nov ini menerusi laman https://danainovasimedia.komunikasi.gov.my/
Fahmi berkata Dana Inovasi Media 2.0 mengekalkan empat skop pembiayaan sedia ada selain memperkenalkan satu skop baharu, menjadikan keseluruhannya lima skop bagi memenuhi keperluan dan menyokong pembangunan organisasi media tempatan.
Skop baharu itu melibatkan langganan perkhidmatan berita dan kandungan media manakala empat lagi skop meliputi latihan pekerja media; perisian dan adaptasi teknologi; peralatan, perkakasan dan kemudahan sokongan; serta penyelidikan dan pembangunan kandungan.
Dana Inovasi Media diwujudkan untuk membantu organisasi media tempatan memperkukuh transformasi digital melalui latihan, penggunaan teknologi dan perisian baharu, peningkatan peralatan serta pembangunan kandungan.
Dana itu terbuka kepada organisasi atau syarikat media tempatan berdaftar dengan Jabatan Penerangan (JAPEN) sekurang-kurangnya enam bulan, mempunyai medium penerbitan (portal/surat khabar) yang aktif serta memiliki Kad Perakuan Media (KPM) yang sah pada tarikh permohonan dibuka.
—Bernama


Leave a Reply