KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan audit terhadap aliran dana yang dikumpulkan UMNO bagi menjelaskan denda RM50 juta membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, Pua mendakwa UMNO berjaya mengumpulkan RM50 juta bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Beliau mempersoalkan keputusan parti berkenaan mengumpulkan dana dalam jumlah besar untuk membantu Najib, sedangkan wang tersebut, menurutnya, boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban kehidupan rakyat biasa.
Pua turut menyifatkan tindakan itu sebagai gambaran sebenar keutamaan UMNO dan mengkritik parti berkenaan kerana mengutamakan usaha membantu bekas pemimpin yang dikaitkan dengan skandal rasuah besar.
Dalam masa sama, beliau meminta BNM dan SPRM meneliti akaun sumbangan UMNO yang digunakan untuk mengumpulkan dana berkenaan bagi memastikan setiap wang yang diterima mempunyai sumber sah.
Katanya, siasatan perlu dilakukan bagi mengelakkan kemungkinan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Pua turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang supaya menilai semula pendirian serta imej UMNO dan Barisan Nasional berdasarkan perkembangan tersebut.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan UMNO berjaya mengumpulkan RM50 juta bagi menjelaskan denda Najib, yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.


Leave a Reply