Kuala Lumpur – Sejak tragedi tanah runtuh berlaku pada awal pagi 16 Disember lalu, Unit Anjing Pengesan (K9) menjadi tumpuan orang ramai dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa-mangsa di Batang Kali, Selangor.

Anjing-anjing pengesan berkenaan memainkan peranan yang amat besar dan penting kepada pasukan penyelamat.

Dengan bertungkus lumus tanpa menghiraukan kepenatan dan kesakitan, haiwan pembantu pasukan SAR kendalian Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sentiasa memberikan komitmen yang sepenuhnya bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang tertimbus.

Biarpun dalam cuaca hubat lebat, anjing K9 tetap meneruskan operasi bagi mencari kesemua mangsa yang terlibat.

Dalam kejadian menyayat hati itu seramai 92 mangsa terbabit dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban. Daripada angka korban itu, 18 ialah individu dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berumur setahun.

Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A (hill view), satu di sektor B (farm view) dan 10 lagi di sektor C (river side). Terima kasih dari kami rakyat Malaysia buat wira-wira berkaki empat, K9! -KL Broadcast