KUALA SELANGOR – Dua remaja lelaki diarahkan untuk membuat kerja khidmat masyarakat dengan mencuci tandas selama 100 jam dalam tempoh enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan khianat terhadap sebuah bangunan dengan api, tahun lepas.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua remaja berkenaan mengaku bersalah.

Siti Hajar turut memerintahkan bon berkelakuan baik sebanyak RM1,000 setiap seorang selama dua tahun serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dalam tempoh sama.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja berumur 16 tahun dan masih bersekolah itu didakwa melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan tandas awam gelanggang futsal di Fasa 3 Bandar Puncak Alam di sini pada 2.47 petang, 28 Ogos 2022.

Dua penasihat awam turut memberikan penyataan dalam galeri mahkamah menegur perbuatan kedua-dua tertuduh yang membinasakan harta awam dan memberi kesan kepada keluarga arwah mangsa seorang remaja lelaki (Muhammad Damin Mikhail Kansol).

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri turut memohon hukuman setimpal dikenakan kepada kedua-dua tertuduh kerana kejadian itu melibatkan kepentingan awam.

Turut hadir dalam prosiding tersebut peguam pemerhati Johan Ariff Salim Khan mewakili keluarga mangsa manakala kedua-dua remaja itu tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki, Muhamad Damin Mikhail Kansol, 16, ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam di sini angkara gurauan dua rakannya itu tahun lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading