
Kuala Lumpur – Menjelang Perayaan Aidilfitri tahun ini, KTMB telah menyediakan 32 perkhidmatan ETS sehari untuk semua laluan dari Gemas hingga ke Padang Besar dengan sejumlah119,880 tiket telah ditawarkan untuk orang ramai. Sehingga hari ini, sebanyak 78% tiket telah terjual.
| PERKHIDMATAN TREN | TIKET DITAWARKAN | TIKET TERJUAL | |
| ETS | 119,880 | 93,299 (78%) | |
| ETS TAMBAHAN | 15,120 | Jualan tiket belum dibuka | |
| JUMLAH | 135,000 | Jualan tiket belum dibuka | |
Oleh itu Kementerian Pengangkutan melalui KTMB akan menyediakan enam perkhidmatan tren ETS tambahan seperti berikut bermula dari tarikh 4 hingga 15 April 2024 dengan penambahan tiket tambahan sebanyak 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan untuk sehari adalah sebanyak 15,120 termasuk tren ekspres ETS.
Jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan bagi perkhidmatan ETS termasuk tren tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah 135,000 tiket.
Berikut merupakan jadual bagi tren tambahan
- Dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral;
- Dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral – Butterworth – KL Sentral dan
- Dua perkhidmatan ekspres laluan untuk KL Sentral – Ipoh – KL Sentral.
Khusus buat mereka yang akan pulang ke Pantai Timur, KTMB turut menyediakan dua (2) perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya. Sebanyak 952 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas ini.
Tren Khas ELA ini akan berhenti di 17 buah stesen; iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.
Tren khas ini dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk kelas pertama, koc tempat duduk kelas kedua, koc buffet, dan koc chillax.
Tiket-tiket dijual dengan harga bermula daripada RM55.00 sehingga RM83.00 bagi perjalanan sehala.
Jadual perjalanan tren khas ELA adalah seperti berikut:
| ELA | Laluan | Tarikh | Masa Berlepas | Masa Tiba |
| KL Sentral – Tumpat | 7 April 2024 (Ahad) | 11.00 malam | 3.53 petang (8 April) | |
| Tumpat – KL Sentral | 13 April 2024 (Sabtu) | 10.45 malam | 3.10 petang (14 April) |