KUALA LUMPUR, 5 Januari 2026 – Kementerian Pertahanan memandang serius dakwaan yang tular di media sosial berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta berlakunya aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah kem tentera.
Sehubungan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman secara segera dan menyeluruh bagi menilai kesahihan dakwaan berkenaan.
Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai serta amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin tinggi, profesionalisme dan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
Sekiranya hasil siasatan mendapati dakwaan tersebut berasas, tindakan tegas tanpa sebarang kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peraturan, tatacara dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
Kementerian Pertahanan bersama ATM kekal komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan sentiasa berada pada tahap tertinggi, serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.