KUALA LUMPUR – PAS menetapkan lima fokus utama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Mesyuarat Khas PAS Pusat yang berlangsung hari ini membuat beberapa ketetapan melibatkan strategi kempen dan hala tuju parti.
Dalam kenyataan yang ditandatangani Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, PAS memaklumkan keutamaan parti adalah mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di Johor di samping menggerakkan sepenuhnya jentera parti di kesemua 11 kerusi yang ditandingi.
PAS turut mengarahkan jentera mendekati seramai mungkin pengundi daripada pelbagai latar belakang menerusi slogan “Jom Jaga Johor” sebagai pendekatan sepanjang tempoh berkempen.
Pada masa sama, parti itu menyeru pengundi supaya tidak memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), termasuk di kawasan yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH.
Selain memberi tumpuan kepada PRN Johor, PAS turut mengumumkan persiapan awal akan digerakkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijangka menyusul.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Mesyuarat Khas PAS Pusat pada Isnin yang turut membawa tema “Kembali Kepada Penyelesaian Islam” sebagai pendirian parti dalam menghadapi landskap politik semasa.


Leave a Reply