MUAR – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang berjanji akan melepaskan jawatan menteri sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan sebagai sesuatu yang wajar ditunaikan.
Menurut Mohamad, jika Kor Ming benar-benar berpegang kepada kenyataannya, beliau seharusnya bersedia mengotakan janji tersebut tanpa mengaitkan keputusan pilihan raya negeri dengan isu yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kemenangan BN di Johor hanya melibatkan pembentukan kerajaan negeri dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang keputusan berkaitan proses perundangan atau urusan kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Sekiranya beliau benar-benar mahu meletakkan jawatan, teruskan sahaja. Itu pendirian beliau sendiri dan kita tidak mempunyai sebarang halangan. Jangan mengelirukan rakyat dengan menghubungkan dua perkara yang berbeza,” katanya ketika menghadiri program kempen BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bersama calon BN, Datuk Azman Ismail.
Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata beliau akan menjadi individu pertama melepaskan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekiranya Najib dibebaskan, selain memberi bayangan bahawa DAP turut akan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan kerana menganggap perkara itu sebagai satu “garis merah” kepada parti.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata BN tidak mahu melayan polemik yang dibangkitkan pihak lawan dan memilih untuk terus memberi tumpuan kepada kempen serta menawarkan agenda terbaik kepada rakyat Johor menjelang hari pengundian.


Leave a Reply