GEORGE TOWN – Urusan pengebumian jenazah perlu didahulukan tanpa menjadikan isu bayaran sebagai penghalang, manakala sebarang kos pengurusan boleh diselesaikan selepas proses pengebumian selesai.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, tuntutan syarak jelas menggesa agar segala urusan berkaitan jenazah dilaksanakan secepat mungkin, selaras dengan sunnah Rasulullah SAW.
Beliau menjelaskan, proses memandikan, mengkafankan, menyolatkan dan mengebumikan jenazah tidak sepatutnya ditangguhkan hanya kerana kekangan kewangan waris, lapr Kosmo.
“Kelewatan hanya dibenarkan sekiranya terdapat keperluan yang diiktiraf syarak seperti menunggu ahli keluarga terdekat dalam tempoh munasabah atau bagi memenuhi keperluan siasatan pihak berkuasa.
“Jika benar terdapat kes jenazah tertangguh selama beberapa jam hanya kerana keluarga gagal menyediakan bayaran pengurusan, perkara itu amat mendukacitakan dan wajar diberi perhatian,” katanya.
Menurut beliau, kelewatan menguruskan jenazah bukan sahaja menambahkan tekanan emosi kepada ahli keluarga, malah boleh menjejaskan penghormatan yang sewajarnya diberikan kepada si mati.
Katanya, faktor kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang kerana masih ramai keluarga hidup dalam serba kekurangan tanpa simpanan, perlindungan takaful atau caruman khairat kematian.
“Apabila berlaku kematian secara mengejut, mereka berdepan kesukaran menyediakan kos pengurusan jenazah. Dalam keadaan ini, Islam mengajar masyarakat supaya tampil membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan setiap masjid atau sekurang-kurangnya setiap kariah mewujudkan Tabung Infak Pengurusan Jenazah yang diurus secara sistematik bagi membantu golongan memerlukan.
Menurutnya, dana berkenaan boleh dimanfaatkan untuk menampung kos pengurusan jenazah fakir miskin, asnaf, warga emas yang tinggal bersendirian, mualaf yang tidak mempunyai waris serta individu yang tidak mencarum khairat kematian.
Sementara itu, Nazir Masjid Ahmadi Rantau Panjang, Klang, Mustapa Kamal Mohd. Nasir berkata, pengurusan jenazah bagi keluarga kurang berkemampuan di kawasan berkenaan lazimnya dibantu melalui sumbangan infak orang ramai.
Katanya, setiap kali berlaku kematian, pihak masjid akan memaklumkan kepada penduduk kampung dan kebiasaannya akan ada individu yang tampil menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pengurusan jenazah.
“Jika sumbangan yang diterima masih tidak mencukupi, pihak masjid akan menggunakan dana tabung khairat untuk membantu keluarga terbabit.
“Tabung khairat bukan sahaja digunakan bagi urusan kematian, malah turut dimanfaatkan untuk kebajikan masyarakat termasuk membantu pendidikan anak-anak penduduk. Setakat ini, urusan pengurusan jenazah di masjid kami berjalan dengan lancar,” katanya.
Semalam, media melaporkan beberapa kes membabitkan jenazah yang didakwa tertangguh sehingga tujuh jam kerana waris tidak mampu menjelaskan kos pengurusan kepada pihak masjid.
Keadaan itu menyebabkan jenazah hanya ditutup dengan kain sementara menunggu bayaran diselesaikan, malah terdapat kes yang lebih menyedihkan apabila jenazah dihurung semut sebelum sempat diuruskan dengan sempurna.


Leave a Reply