KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapati beliau bersalah atas kesalahan menghina mahkamah.
Hakim Amir Shah Amir Hassan bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan difailkan oleh Presiden Parti Warisan itu terhadap sabitan berkenaan, lapor Berita Harian.
Dalam penghakimannya, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam minggu serta denda maksimum RM300.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P. Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang serta Ahli Parlimen Semporna diwakili peguam Jakariya Ab Jalil dan Chen Ket Chuin.
Prosiding menghina mahkamah itu berpunca daripada kenyataan yang dikeluarkan Shafie berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Pada 22 September 2025, Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap beliau kerana kenyataan tersebut didakwa boleh mengganggu perjalanan prosiding inkues.
Susulan itu, pada 23 Oktober tahun lalu, mahkamah membenarkan Peguam Negara memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Shafie dan aktivis Che Muna Din atau Mona Din mengikut Perintah 52, Peraturan 3(2), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Sebelum ini, Mona Din mengaku bersalah atas pertuduhan sama pada 18 Disember 2025 dan didenda RM300 atau penjara 14 hari jika gagal membayar denda.
Inkues berhubung kematian Zara Qairina, 13, yang ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar sebelum meninggal dunia keesokan harinya, dijadualkan bersambung pada 24 Ogos ini.


Leave a Reply