JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia 18 bulan serta memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit, membabitkan kejadian pada 2023.
Tertuduh, G. Thevendhrian yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan, dihadapkan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh anaknya di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas antara jam 8.30 pagi hingga 10 pagi pada 12 September 2023.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan DNA, forensik dan kimia.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret A. Shaarmini, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan penjara sebulan. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama tiga bulan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir kondominium yang sama kira-kira jam 1 petang pada hari kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.


Leave a Reply