KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyuarakan rasa sedih terhadap perkembangan politik negara yang menurutnya semakin dipengaruhi sentimen perkauman demi meraih sokongan undi.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Bang Mat berkata, keadaan hari ini berbeza berbanding dahulu apabila rakyat pelbagai kaum dan agama masih mampu duduk bersama, bergaul serta hidup dalam suasana aman walaupun mempunyai perbezaan.
“Bang Mat rasa sedih tengok politik hari ini. Dulu, walaupun kita berbeza kaum dan agama, kita boleh duduk semeja, minum kopi dan hidup aman.
“Hari ini, ada pula yang sengaja meniup sentimen perkauman semata-mata nak dapat undi. Politik macam ini bukan menyatukan rakyat, tetapi memecah-belahkan negara,” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu mengingati bahawa semua warganegara adalah rakyat Malaysia yang sama-sama bernaung di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan telah memelihara kedudukan Islam, Bahasa Melayu, institusi Raja-Raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan politik yang cuba menimbulkan ketakutan serta perpecahan dalam masyarakat.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, masalah sebenar negara bukan berkaitan soal kaum, sebaliknya melibatkan isu amanah dan integriti.
Beliau mengambil contoh isu Tabung Haji dengan menyatakan bahawa tindakan mengkhianati amanah tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu kaum, begitu juga usaha membetulkan keadaan tidak seharusnya dilihat berdasarkan latar belakang seseorang.
“Yang mengkhianati amanah itu orang Melayu. Yang berusaha membetulkannya pula pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan seperti Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Lim Guan Eng.
“Ini bukti bahawa amanah tidak mengenal kaum, dan pengkhianatan juga tidak mengenal kaum,” katanya.
Dalam hantaran sama, Mohamad turut menyeru supaya budaya “tebuk atap” dan perebutan kuasa dihentikan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.
Katanya, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil supaya pembangunan negeri dapat diteruskan, ekonomi diperkukuh dan kebajikan rakyat terus terbela.
Beliau turut menyentuh mengenai pentadbiran Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min yang menurutnya membuktikan bahawa pentadbiran bersih, stabil dan berintegriti mampu membawa kemajuan.
“Alhamdulillah, di bawah kepimpinan Tok Min, Negeri Sembilan membuktikan bahawa pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti mampu membawa kemajuan. Negeri terus membangun, kebajikan rakyat terus dijaga dan syiar Islam terus diperkasakan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru rakyat supaya keluar mengundi pada 1 Ogos dengan memilih kestabilan serta menolak politik kebencian dan perpecahan.


Leave a Reply