SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan seorang pengerusi kuil daripada pertuduhan menceroboh tanah persendirian di Jalan Dredging Selangor, Dengkil selepas mendapati pertuduhan yang dikenakan terhadapnya mempunyai kecacatan dari sudut undang-undang.
Peguam bela, Latheefa Koya berkata, Hakim Dr. Hazlina Hussain memutuskan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya, M. Paramaguru, 49, selepas mahkamah mendapati terdapat kecacatan yang tidak boleh diperbetulkan dalam kertas pertuduhan.
Menurut beliau, mahkamah turut berpendapat pihak pendakwaan gagal menunjukkan bahawa Paramaguru mempunyai niat jenayah yang menjadi elemen penting bagi kesalahan pencerobohan seperti diperuntukkan di bawah undang-undang.
“Mahkamah mendapati pertuduhan itu tidak menyatakan dengan jelas bahawa tertuduh mempunyai niat untuk melakukan kesalahan jenayah menceroboh, sekali gus menyebabkan pertuduhan tersebut tidak dapat dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Latheefa, yang dibantu peguam Rajesh Nagarajan, berkata pertikaian membabitkan kuil berkenaan sebenarnya berkisar mengenai status pemilikan tanah yang masih dipertikaikan dengan pemilik tanah persendirian.
Sehubungan itu, mahkamah berpandangan bahawa meneruskan perbicaraan hanya akan membazirkan masa dan sumber kehakiman kerana pertuduhan berkenaan tidak memenuhi keperluan undang-undang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail.
Pada 9 Februari lalu, Paramaguru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang selepas didakwa menceroboh tanah persendirian milik Datuk Suhaili Ahmad di Jalan Dredging Selangor, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Memetik laporan Kosmo.


Leave a Reply