KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menegaskan penggunaan lampu amaran atau beacon light serta siren pada kenderaan penguat kuasa dan kecemasan bukan alasan untuk mengabaikan peraturan jalan raya.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata semua pengguna jalan raya termasuk pemandu kenderaan kecemasan tertakluk kepada undang-undang yang sama.
Menurutnya, kenderaan yang menggunakan lampu beacon dan siren tetap perlu memastikan keadaan lalu lintas selamat sebelum meneruskan perjalanan, khususnya ketika berdepan lampu isyarat merah.
Beliau berkata keselamatan pengguna jalan raya lain perlu diberi keutamaan dan pemandu tidak seharusnya terus melintasi persimpangan hanya kerana lampu amaran serta siren diaktifkan.
Hasbullah berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke lokasi kemalangan membabitkan tiga sekeluarga di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kuasa mengawal lalu lintas dan melaksanakan tugas pengiring atau escort di jalan awam merupakan bidang kuasa PDRM berdasarkan Seksyen 21 Akta Polis 1967.
Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana agensi, marshal awam, persatuan atau pihak lain supaya tidak memasang lampu beacon secara sewenang-wenangnya atau mengambil tindakan menahan lalu lintas bagi memberi laluan kepada konvoi.
Katanya, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan lampu amaran secara tidak sah.
Menurut beliau, kuasa untuk mengiring, membuka laluan atau mengawal pergerakan trafik bagi kenderaan VIP, pembesar atau konvoi di jalan awam hanya diberikan kepada PDRM.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberi laluan kepada kenderaan kecemasan yang sah, manakala pemandu kenderaan kerajaan pula perlu memastikan setiap pergerakan dilakukan dengan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya.
Sebelum ini, tiga sekeluarga dilaporkan maut selepas kenderaan mereka dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi semalam.
Kemalangan kira-kira jam 1 pagi itu berlaku ketika lori Isuzu ‘Black Maria’ JIM tanpa muatan dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit untuk operasi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan lampu beacon dan siren diaktifkan.
Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau dipercayai tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan lori terbabit.
Akibat perlanggaran itu, lori berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang merupakan satu keluarga serta sebuah kereta Inokom Matrix.


Leave a Reply