MARUDI – Sebuah helikopter yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang STOLport, Marudi, Sarawak pada Selasa.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu sedang melaksanakan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara ketika kejadian, lapor Sinar Harian.

CAAM memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan (Flight Information Service) pada jam 3.58 petang.

“Helikopter itu sedang menjalankan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara dengan lima individu berada di dalamnya termasuk juruterbang,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Long Lellang STOLport terletak di kawasan pedalaman Sarawak dan merupakan antara kemudahan penerbangan yang menghubungkan komuniti terpencil di kawasan berkenaan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.