JOHOR BAHRU — Kerajaan negeri Johor akan memperluaskan operasi menangkap anjing liar susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, operasi telah dimulakan sejak semalam di Batu Pahat dan akan dipergiatkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan lain yang turut berdepan masalah sama.

Katanya, arahan untuk mempergiat operasi berkenaan telah dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor kepada semua PBT.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk, selain haiwan yang ditangkap perlu diperiksa bagi menentukan kemungkinan dijangkiti rabies.

“Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. Sebab itu operasi perlu dipertingkatkan, bukan sahaja di Batu Pahat tetapi di kawasan lain yang dikenal pasti mempunyai masalah anjing liar,” katanya selepas mengunjungi kanak-kanak berkenaan di Hospital Sultanah Aminah.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Fared berkata MPBP sebenarnya telah menjalankan tiga operasi tangkapan di kawasan terbabit sepanjang bulan lalu dan berjaya menangkap 22 ekor anjing liar.

Bagaimanapun, masih terdapat banyak anjing berkeliaran di kawasan itu meskipun beberapa operasi telah dilaksanakan berdasarkan aduan penduduk.

Beliau berharap PBT mengambil pendekatan lebih berkesan bagi menangani populasi anjing liar demi memastikan keselamatan masyarakat setempat tidak terus terancam.

Pada masa sama, MAINJ bersetuju menanggung kos rawatan kanak-kanak berkenaan.

Sebelum ini, polis memaklumkan mangsa diserang sekumpulan anjing liar ketika berada di hadapan rumahnya kira-kira pukul 7 pagi.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di hampir seluruh badan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk rawatan awal dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah bagi pemeriksaan lanjut.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.