DILI – Kerajaan Timor Leste mengarahkan sekolah ditutup selama tiga hari bermula hari ini susulan pencemaran udara akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia.
Menurut laporan AFP, keadaan di ibu negara, Dili, masih menyaksikan aktiviti harian penduduk berjalan seperti biasa di bawah langit yang bertukar jingga. Bagaimanapun, ramai memakai pelitup muka susulan nasihat kerajaan sehari sebelumnya.
Penduduk menyambut baik keputusan penutupan sekolah itu, meskipun mereka mendakwa keadaan jerebu pada awal minggu ini lebih buruk.
“Sejak kebelakangan ini, pencemaran udara di Dili sangat teruk. Kita tidak dapat melihat matahari, asap jerebu sangat tebal,” kata seorang bidan, Sonya da Costa Soares, 30, kepada AFP.
Walaupun anaknya masih belum cukup umur untuk bersekolah, beliau menyifatkan langkah tersebut penting bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
Indonesia berdepan kebakaran hutan secara berkala ketika musim kemarau. Namun, keadaan tahun ini bertambah buruk berikutan cuaca kering dan kemarau yang dikaitkan dengan fenomena El Niño yang kuat.
Kebakaran hutan serta tanah gambut dilaporkan memusnahkan ratusan ribu hektar kawasan hutan dan ladang di Sumatera, Borneo serta Papua. Keadaan itu turut menyebabkan pencemaran udara meningkat bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia, Singapura, Filipina dan Timor Leste.
Menurut kerajaan Timor Leste, penutupan sekolah perlu dilaksanakan bagi melindungi kesihatan pelajar, guru serta warga institusi pendidikan lain berikutan keadaan kualiti udara semasa.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya memastikan anak-anak berada di dalam rumah, manakala mereka yang perlu keluar digalakkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. – AFP


Leave a Reply