REMBAU – Kerajaan Malaysia masih mengutamakan rundingan secara diplomatik bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan dan belum melihat keperluan untuk mengambil tindakan rasmi terhadap Indonesia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang langkah yang diambil perlu mempertimbangkan kepentingan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Jakarta.

Menurutnya, Malaysia tidak mahu terburu-buru menggunakan pendekatan berbentuk bantahan diplomatik atau tindakan undang-undang, sebaliknya memilih ruang perbincangan untuk mencari penyelesaian.

Beliau turut mendedahkan bahawa isu jerebu itu telah dibangkitkan melalui hubungan peringkat tertinggi apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menghubungi Presiden Indonesia. Mohamad sendiri juga telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari negara berkenaan.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya Malaysia mengemukakan Nota Diplomatik kepada Indonesia berhubung pembakaran hutan terbuka yang didakwa menyumbang kepada pencemaran udara di rantau ini.

Syed Saddiq sebelum ini turut mencadangkan supaya Malaysia mendapatkan sokongan negara ASEAN lain yang terkesan, termasuk Singapura, bagi mengukuhkan desakan terhadap Indonesia.

Bagaimanapun, Mohamad berpandangan pendekatan diplomasi masih menjadi pilihan kerajaan ketika ini, manakala penghantaran nota rasmi hanya akan dipertimbangkan sekiranya keadaan memerlukannya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan bantuan pelajaran, bantuan am dan bantuan warga emas bagi kawasan Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading